Friday 7 November 2008

kelas tuisyen

Soal

Tutup sejenak hai televisyen
Supaya tumpuan tidak terganggu
Patutkah anak belajar tuisyen
Hingga dijadikan kehendak perlu?

Jawab

Supaya tumpuan tidak terganggu
Tanpa sedarkan orang datang
Sebenarnya tuisyen tidaklah perlu
Jika diamal telaah dan mengulang


“The parents’ life is the child’s copybook.  Two parents teach more than twenty teachers”


Pada dasarnya, kelas tuisyen untuk seseorang kanak-kanak sekolah adalah tidak perlu.  Tuisyen bertujuan mengajar semula atau menambah kerja/latihan agar seseorang anak itu “lebih pandai” daripada orang lain.  Jadi, guru tuisyen (biasanya guru darjah mata pelajarannya) akan memberi penumpuan khas dan peribadi kepada seseorang anak itu dalam kelas tuisyen tersebut.


Tuisyen biasanya bersifat “melayan kehendak anak” yang mungkin tidak memahami atau terlepas dari pada menerima penerangan guru dalam darjah, sama ada disengajakan atau di sebaliknya.


Seseorang anak haruslah dididik oleh ibu bapanya supaya mengulangkaji dan mentelaan kerja-kerja/latihan yang dibuat di sekolah.  Amalan ini seharusnya dijadikan sebagai perkara biasa harian seseorang murid sekolah, seperti makan, minum tidur dan sebagainya.  

Friday 17 October 2008

menyakinkan diri menghadapi peperiksaan

Soal

Didalam dewan mereka duduk,
Di mana periksa tetap diadakan,
Terpendam fikiran bercampur-aduk,
Bagaimana cara dapat dihilangkan?

Jawab

Nyatakan mereka awal-awal lagi,
Segala keadaan sebegitu rupa
Keyakinan, keberanian harus diberi
Semua calon sama-sama merasa


“Have confidence that if you have done a little thing well, you can do a bigger thing well too - David Storey”


Takut, gentar dan tidak yakin menghadapi sesuatu peperiksaan adalah perkara biasa bagi setiap orang pelajar.  Tanpa perasaan tersebut seseorang itu dikatakan agak “luar biasa”  keadaannya.  Ibu bapa mempunyai peranan selaku pemberi keyakinan, perangsang keberanian dan penggalak berfikir secara positif kepada anak, sebagi calon peperiksaan.


Secara bersahaja, seseorang ibu bapa bolehlah menyatakan kepada anak:

  • “Semua orang di muka bumi ini berasa takut, gentar dan bimbang seperti kamu rasai sekarang apabila menghadapi peperiksaan.”
  • “Kalau kamu sudah memasuki dewan peperiksaan, perasaan negatif kamu akan beransur hilang, seperti keadaan kawan-kawanmu juga.”
  • “Jika semua calon boleh menjawab dengan cemerlang, kamu pun boleh!  Mereka itu kawan sekelas/sekolah kamu.  Apakah yang ditakutkan?
  • “Cergaskan diri, berdiri lurus, kecilkan perut, ayung jangan diganggu oleh perasaan yang tidak-tidak.  Katakan:  “Aku boleh!”

Friday 14 September 2007

perlu untuk peperiksaan

Soal

Bermain sukan perlu berfikir,
Sudah mulai, gunakan akal 
Selain keyakinan dan tahu sifir, 
Apakah lagi harus anakku hafal?

Jawab


Akal perlu dalam kehidupan,

Moga sentiasa penuh perasan. 

Hafal dulu doa mohonan,

Juga membiasa banyak rumusan.


"Unless we remember we cannot understand - E.M. Foster.”


Amalan menghafal perkara-perkara tertentu dan khusus dalam proses pembelajaran kerana berbagai tujuan tidak dapat dielakkan seseorang. Malahan perbuatan ini tidak akan simá selagi manusia itu belajar atau menimba ilmu


Kata-kata dan maksim tentang keyakinan diri adalah baik jika dihafal dan ulang-sebut, misalnya, AKU BOLEH DAN AKU MESTI. Begitu jugalah sifir secara umum, bukan sahaja sifir darab, tetapi juga sifir "penukaran" (conversion) haruslah sentiasa "dalam kepala" seseorang calon peperiksaan. 


Dari segi spiritual pula, seseorang murid-pelajar dinasihatkan supaya memohon kepada Allah menerusi pembacaan dan penghafalan kalimah-kalimah doa, seperti untuk penerang hati, mengingat, pengurang rasa darah gemuruh dan lain-lain. Ini boleh didapati dari banyak sumber.


Juga, tidak kurang pentingnya ialah MEMAHAMI, MENERAPKAN DAN MENGINGAT rumusan dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Di antara misalnya: untuk Luas Bulatan dan lain-lain lagi

Saturday 8 September 2007

persediaan menghadapi peperiksaan

Soal

Cium dulu sebelum dirasa

Jangan cuma letak di bibir

Maklum anakku belum bersedia,

Peperiksaan utama semakin hampir

Jawab

Belajar umpama bernafas udara

Setiap ketika menjadi amalan

Melancar akhir bukanlah cara

Bersiap sedia hadapi peperiksaan


“Nature’s Law :  No breaks without aches; no gain without pain; no skill without drill.”


Dengan bermulanya seseorang anak itu belajar di sekolah, maka sepatutnya bermulalah juga dia menyediakan diri untuk menjawab pada bila-bila masa disoal guru.  Ini adalah permulaan ujian walaupun semudah sesuatu soalan itu.  Jadi, untuk tidak tergesa-gesa belajar, dan kemudia tertekan apabila menghadapi ujian atau peperiksaan yang lebih “mencabar:,  seseorang anak itu haruslah bersedia awal-awal lagi.  Serentakkanlah permulaan dengan persediaan.  


Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa untuk duduk studi menghadapi peperiksaan, cara dan waktu belajar berbeza-beza antara seseorang dengan yang lain-ada yang bersiap-sedia pada awal tahun persekolahan dan ada pula yang lebih suka kepada “studi di saat-sat akhir”  menjelang tarikh peperiksaan.”  Jika diberi pilihanm mungkin lebih ramai kanak-kanak yang gemar belajar dari awal hingga akhir, perlahan-lahan, beransur-ansur dan berkemajuan.


Tekankan betapa pentingnya perkara ini kepada kanak-kanak bahawa, “Musuh utama dalam peperiksaan ialah waktu dan soalan.  Tentanglah musuh-musuh itu dengan bersenjatakan persediaan yang rapi dan kukul!”

Thursday 16 August 2007

lemah dalam pelajaran mengarang

Soal

Andainya mahu membina rumah,

Jangan dibina segera sekarang,

Bukannya anakku sembarangan lemah,

Bahkan dalam perkara mengarang


Jawab

Membina rumah usah sembarangan

Fikirkan juga keadaan cuaca

Jika anakmu lemah mengarang

Galakkan dia perbanyak membaca


“Read the best books first, or you may not have a chance to read them all - Henry David Thoreau Quote.”


Belum pernah kita dengar atau terbaca bahawa orang-orang yang membaca menjadi bodoh atau dungu.  Malah, setiap pendidik akan menasihati seseorang murid supaya membaca, membaca dan terus membaca.  Seolah-olah tidak ada nasihat lain yang boleh diberinya!


Apa yang dibaca ialah sesuatu yang terkarang, iaitu hasil penulisan seseorang.  Baca, fahamkan, contohi, tiru dan ubah-suai bahan orang lain.  InsyaAllah kelicinan, kelancaran dalam ekspresi (berbahasa)  akan dapat dirasa oleh seseorang yang suka membaca.  Bentuklah habit membaca sekarang juga!


Idea atau pemikiran, butiran dan penggunaan bahasa yang baik bukanlah suatu perkara remeh-temeh, tetapi kelancaran bertutur, membaca dan menulis akan diperoleh menerusi, tidak lain dan tidak bukan, pembacaan.  Ini memerlukan jangka masa yang panjang.  Kalau sudah memiliki tabiat membaca, pupuklah ia sehingga sebati dengan sikap dan kehidupan.


Wednesday 5 July 2006

lemah dalam bahasa inggeris


Soal

Kalau hendak terhibur lara,
Kunjungi restoran saudara Idris
Tunjukkan bubapak satu cara
Menguasai pelajaran Bahasa Inggeris

Jawab

Tiba di restoran saudara Idris
Dari hulu segera bergegas
Jika kelemahan berbahasa Inggeris
Kuasai dulu perkara di atas

“If you wish to reach the highest, begin at the lowest - Publilius Syrus Quote.”


Hayatilah kenyataan bahawa melakukan sesuatu itu haruslah dimulakan daripada yang paling bawah atau asas.  Begitu jugalah keadaannya apabila seseorang hendak mempelajari, dan seterusnya menguasai matapelajaran Bahasa Inggeris.  Oleh kerana mempelajari sesuatu bahasa itu memerlukan masa yang agak panjang, maka kesabaran dan ketabahan seseorang pelajar sangat-sangat dikehendaki, lebih-lebih lagi yang baru mempelajarinya.

Kuasai dahulu, misalnya:  “subject - verb agreement” dalam bahasa ini; kemudian pula, Tensesnya:  Present, Past, Future… Jika seseorang murid tidak sanggup memahami atau memaksa/berusaha dirinya untuk memahami perkara-perkara asas ini, maka mustahillah dia akan mampu menguasai Bahasa Ingerris;

Mahu Kemahiran - Latihan.  
Hendak KUASAI - Asasi 
Ingin Mahir - Fikir 
MALAS..? - Jangan ke kelas !

Thursday 15 June 2006

lemah dalam matematik

Soal

Satu setengah jam berdetik,

Tidak bersabar mahu bertanya,

Anakku lemah dalam Matematik,

Hendak diajar tak tahu caranya

 

Jawab

Jam di dinding berdetik seras,

Terdengar kita hingga ke sini,

Amatlah pending didik yang asas

Agar ia mudah dikuasai


“A journey of a thousand miles begins with one step - Chinese Proverb.”


Seperti juga bagi pelajaran Bahasa Inggeris, adalah diharapkan supaya seseorang anak itu mampu menguasai perkara-perkara asas tengan kira-mengira, tukar-menukar unit, faham-memahami rajah, carta dan tanda-tanda operasi dalam Matematik.


Beransur-ansurlah, iaitu secara progresif untuk mengenal, memaham dan mengingat item-item dan konsep mudah seperti nombor, unit sukatan dan rumus yang senang dahulu.  Prosesnya:  kenal - tahu - faham - ingat - amalkan - kuasai.


Seringkali didapati kanak-kanak Tahun 6 yang masih tidak mampu menukarkan 18 hari kepada minggu,  7,200 cm kepada meter!


Yang penting juga ialah guru atau ibu bapa haruslah menerangkan konsep-konsep tertentu dalam Matematik sambil membuat dan menunjukkan perbandingan dengan benda atau perkara biasa dalam kehidupan sehari-hari, yakni membuat asosiasi idea.


kelas tuisyen

Soal Tutup sejenak hai televisyen Supaya tumpuan tidak terganggu Patutkah anak belajar tuisyen Hingga dijadikan kehendak perlu? Jawab Supaya...